Pages

Stories Of LIfe Kampung Girl : 1

KEHIDUPAN...
Di sepanjang kehidupan, aku selalu mengharapkan agar suatu masa nanti, aku bakal ditemukan dengan seseorang yang bisa saling menjaga, mendidik dan berbahagia. Pun begitu, kehidupan bagaimana selalu di ingini manusia, melainkan mengharap segalanya benar-benar sempurna.

Sehabis pengajian di menengah atas, aku berhajat seperti gadis sebayaku iaitu mencari pekerjaan agar mampu menyara diri dan meringankan beban keluarga, walaupun sedikit tetapi membantu. Suatu masa agar tidak perlu lagi meratah makanan dari lebihan orang lain atau terpaksa menadah telinga mendengar caci nista dari golongan lebih berkemampuan. Aku juga berharap
agar dapat mengisi perut tanpa rasa bersalah dan tanpa catuan makanan lagi.

Ibu ayah dianggap sampah masyarakat dek kerja yang kais pagi makan pagi mengelilingi kampung mencari sisa buangan yang boleh dikitar semula, namun tidak pernah mencukupi apatah lagi boleh memewahkan anak isteri. Waktu semua orang lena, ibu masih lagi di mesin jahit usangnya yang dibeli seawal pernikahan, menyiapkan baju yang ditempah orang. Belum sempat siap sehelai baju, ibu kerah tenaga ke dapur apabila jam sudah menunjukkan pukul 4 pagi. 
Namun...
Semenjak kehilangan ayah, ibu bekerja dengan Kak Wan Melah di warung makan siang, terletak beberapa meter dari klinik kesihatan kampung. Upah sekitar RM250 sebulan, dapatlah membeli beberapa keperluan dapur. Aku dan adik beradik yang lain sudah pandai berdikari dan kami sudah faham akan kepayahan ibu. Apa yang terhidang di hadapan kami, itulah nikmat tak terhingga meski tidak dapat memuaskan nafsu lapar, namun mencukupi. Jika ada rezeki lebih, dapatlah ibu bawa pulang lauk yang tidak habis dari warung Kak Wan Melah itu. 

Sebagai tukang cuci pinggan di warung, raut wajah ibu cukup menggambarkan bebanan dipikul. Bekerja dari awal pagi sehinggalah pukul enam petang, dan ada ketikanya ibu hanya mampu tidur sejam dua sebelum menyambung membuat kuih atau menjahit baju pelanggannya. Wajah ibu yang dulu ceria dan jelita bertukar lesu dan kusam. Walau jauh di sudut hati, rasa kasihan dengan keadaan itu namun, aku tidak berupaya menolong. Mungkin beberapa kerja rumah seperti membasuh pakaian, mengemas rumah atau memasak, aku akan sudahi.

Jam kesepuluh pagi jumaat itu, Hamsah dan Khalsom sudah muncul di depan rumah. Wajah tersengih seperti kerang busuk itu memberi petanda. Jarang benar mereka mengayuh basikal berkilometer ke rumah aku, pasti ada hajat ingin disampaikan. Hajat? Ah! seperti mahu meminang anak dara orang sahaja. Eh! aku pun juga anak dara orang. Bicara hati sendirian.

"Apa bikin esok hari?" Soal Hamsah yang belum sempat aku jemput masuk ke rumah. Kebiasaannya anak tangga berlima menjadi tempat bersembang. Hamisah melabuhkan punggungnya di bibir anak tangga teratas, diikuti Khalsom.

"Belum tahu lagi. Mengapa?." Soal aku kembali tatkala mengambil tempat di tengah antara Hamsah dan Khalsom. Mereka tersenyum lagi kepadaku. Dari raut wajah mereka berdua, aku sudah duga pasti ada kerja gila yang mahu dikomplot bersama. Ah! tidak mahu lagi aku membuat larian marathon dikejar lembu betina Jusoh kerana mencuri mangga muda hartanya. Insaf sudah.

"Aku fikir mahu ke bandar, minggu depan selepas jam sepuluh." Hamsah meluah hasrat. 
Aku bernafas lega kerana bukan kerja haram lagi mahu diajak bersama. Sekejap...kebandar? bikin apa dibandar? 

"Ikutlah kami, kita pergi cari kerja. Aku fikir ini masa yang sesuai buat kita." Khalsom mencelah dengan penuh semangat. Senyumnya lebar menampak gigi yang putih dan jongang itu.

"Cari kerja?."
Pucuk dicita, ulam mendatang. Aku baru berangan mahu mencari kerja. Bagai camar terbang ke hutan, hajat untuk berdikari tercapai. "Kerja apa nak dicari? Dikampung ini sudah tiada kerjakah?." Keinginanku bertanya lebih lanjut.

"Bukan begitu. Di bandar peluangnya lebih cerah berbanding di kampung ini. Lagipun gajinya lebih lumayan. Kalau kau ikut, lebih bagus dari berdua." Tambah Hamsah lagi membuat aku terfikir fikir.

Ajakan dua rakan sekelas itu sangat menarik minat aku cuma aku perlu keizinan ibu. Itupun kalau diizinkan. Pasti banyak soalan akan diajukan, itu dan ini. Mahu melompat pagar asrama pun aku tidak merasa sesukar meminta kebenaran ibu. Walaupun belum pernah ada rekod buruk, namun aku tidak boleh sewenangnya keluar begitu sahaja. Jika berlaku sesuatu, pasti aku dimarahi.

"Bagi aku fikir dulu. Aku perlu kebenaran ibu. Kalau ibu bagi lampu hijau, bolehlah aku ikut kamu berdua."

"Kalau begitu katamu, kami tunggu sahaja hari minggu nanti, jam sepuluh, hentian simpang tengah itu." Hamsah memberi lokasi perjumpaan. 

"Baiklah." Aku menganggukkan kepala.
Otak aku ligat mencari cara untuk meminta keizinan ibu. Kalau diberitahu saat ibu baru pulang kerja, pasti ibu tidak bagi aku ke bandar, lebih teruk lagi kalau diamuknya. Hah! tidak mahu aku memarakkan api yang sedia ada. Dengan keadaan penat dan letih, pasti ibu tidak dapat membuat keputusan, bukan tidak pernah berlaku. Dalam waktu yang sama, aku begitu bersemangat untuk mencari pekerjaan, bagaimana merasa ada wang sendiri hasil dari titik peluh sendiri dan dapat membeli segala yang tidak pernah aku peroleh selama ini. Asyik pakai baju dari pemberian orang sahaja. Bukan tidak bersyukur tetapi adakala segan.

Hari yang dijanjikan, Hamsah dan Khalsom muncul seperti dijanjikan. Aku pula mendapat pelepasan ibu sepenuhnya. Kata ibu, aku perlu berdikari dan belajar bertanggungjawab tanpa menyalahgunakan kebebasan yang diberikan. Untuk kebebasan, aku anggukan sahaja kepala seperti unta. Tambah ibu lagi, apabila sudah bekerja aku pasti ada pergaulan yang banyak dan mungkin bertemu pasangan hidup dan ibu sudah bersedia menerima yang anak gadisnya sudah matang untuk dilepaskan. Ah! jauh benar jangkauan ibu. Aku belum berfikir ke arah itu meski aku selalu membayangkan fantasi yang serba serbi indah. Hidup miskin dan berkahwin dengan orang kaya, hebat sungguh anganku. Untuk mengurat pelajar sekolah sendiri pun aku terkaku apatah lagi untuk dicintai dan diminati lelaki. itu suatu yang sangat mustahil. Aku sedar sejak dari mula. Raut wajah dan kulit ku tidak semulus Hamsah mahupun Khalsom, mampu membeli barangan muka, mampu tepek sana dan sini. Dengan kewangan keluarga yang gawat, aku tidak terfikir untuk melakukan pembaziran. Kata ibu pelajaran-lah antara hal terpenting buat usia seperti aku.

Bersambung...


No comments:

Post a Comment

COPYRIGHT@Hak Milik Kekal